Gajah Mengamok, Kami Hanya Ingat Mati Masa itu

“KAMI hanya mampu mengucap dan terfikir akan mati hari ini (kelmarin) sebab mungkin akan meninggal dunia jika gajah itu akan naik atas bumbung kereta.”

Itulah kata pemandu Perodua Axia, Muhammad Danial Khasim, 21, apabila kereta dinaikinya bersama dua penumpang rosak akibat dirempuh gajah yang mengamuk.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam di Kilometer 63 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik, ketika dia bersama Azmi Lebai Ishak, 76, dan anak Azmi, Muhamad Nasrullah, 17, dalam perjalanan pulang ke Jitra, Kedah.

“Kami mendapati rupa-rupanya ada gajah mengamuk dan pemandu kenderaan lain berpatah balik sambil menyalakan lampu tinggi dan membunyikan hon.

“Gajah itu tiba-tiba nampak lampu kereta kami lalu ia terus datang serang dan saya pula tidak sempat menutup lampu. Haiwan itu turut melanggar bonet kereta menyebabkan lampu dalam kereta menyala.

“Haiwan itu pergi ke bahagian pemandu dan saya lihat kakinya menutup cermin sebelum gajah itu bergerak ke bahagian penumpang depan pula dan perutnya berada di atas bumbung kereta,” katanya ketika dihubungi, semalam.

“Bagaimanapun, kami bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu kerana memang tak tahu nak buat apa kalau gajah besar itu naik atas bumbung kereta,” katanya.