Hidap Tibi, Anak Halau Bapa Dari Rumahnya Sendiri

DIHALAU KELUAR DARI RUMAH SENDIRI : PESAKIT TIBI INI KONGSIKAN KISAH SEDIHNYA

“Doktor, janganlah bagi pakcik keluar wad dahulu buat sementara waktu ni. Keluarga pakcik dah taknak terima pakcik dah setelah mereka tahu pakcik di diagnose sebagai pesakit Tibi positif”, kata Pakcik Abu (Bukan nama sebenar) penuh kesayuan

“La..kenapa pulak pakcik. Pakcik hanya perlu pakai topeng muka dan duduk di bilik khas dalam rumah selama 2 minggu je, lepas tu dah boleh macam biasa. Risiko untuk pakcik menjangkitkan penyakit Tibi ni kepada orang lain selepas 2 minggu adalah rendah. Nanti kita periksa kahak pakcik sekali lagi selepas 2 minggu, untuk pastikan dia dah negatif. Yang penting pakcik perlu makan ubat setiap hari”, jelasku

“Tulah, mereka takut pakcik sebarkan penyakit Tibi ni kepada anak cucu..jadi mereka tak bagi pakcik tinggal serumah. Pakcik dah takde tempat lain nak pergi dah ni”, cerita pakcik Abu dengan panjang lebar. Wajahnya tertunduk lesu kesayuan. Sesekali dia memandang keluar tingkap merenung masa depan yang tidak pasti.

“Takpe pakcik. Insyaallah perkara ini kita boleh cuba bawa berbincang. Boleh tak pakcik panggil isteri dan anak-anak pakcik ke hospital, kita buat mesyuarat keluarga. Saya akan cuba jelaskan perkara sebenar kepada mereka

Begitulah antara cerita sedih yang pernah dikongsikan oleh salah seorang pesakit Tibi saya

Di kesempatan ini, saya ingin jelaskan kepada semua, bahawa risiko untuk kuman Tibi positif tersebar melalui udara adalah tinggi hanya pada 2 minggu pertama rawatan dan selagi mana kahaknya masih ada tanda positif kuman tibi . Kebanyakan pesakit Tibi, kahaknya akan menjadi negatif setelah 2 minggu atau kurang dari tempoh tersebut. Ketika itulah pesakit perlu memakai topeng muka. Setelah itu, kadar penyebarannya adalah rendah, terutamanya jika kahak telah menjadi negatif. Pemakaian topeng muka dan pengasingan bilik di dalam rumah dalam tempoh 2 minggu pertama rawatan boleh membantu mengurangkan risiko penyebaran kuman Tibi positif

Sokongan keluarga adalah penting untuk menjamin kelangsungan rawatan pesakit Tibi. Kebanyakan pesakit Tibi yang tidak berjaya menamatkan rawatan selama 6 bulan, berpunca dari kurangnya sokongan dari keluarga. Samada dalam bentuk masa, kewangan dan tenaga.

Ada pesakit yang tak datang temujanji klinik kerana tiada siapa nak hantar ke klinik, ada yang tak makan ubat kerana tiada siapa nak hantar kan ke klinik/farmasi hospital untuk top-up ubat, ada yang tak datang klinik/follow up kerana masalah kewangan seperti Tak cukup duit minyak, tambang teksi dll. Semua faktor-faktor kemanusiaan ini sebenarnya boleh diusahakan untuk diubah dan ditambah baik.

Berikanlah sokongan kepada ahli keluarga anda yang menghidap Tibi, kerana penyakit Tibi boleh disembuhkan jika dirawat dengan baik

Paru-paru sihat, hidup sejahtera

Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa
Pakar Perunding Perubatan & Paru-paru

Pic credit :sunnewsonline.com