Keluarga Adib bidas kenyataan Ketua Polis Negara, bantah cadangan kaji semula sebab kematian

Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim menyatakan bahawa mereka tidak bersetuju dengan cadangan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador untuk membentuk pasukan petugas baru untuk memeriksa kembali semua aspek kematian anggota bomba berkenaan.

“Perlu ditekankan di sini bahawa Mahkamah Koroner telah pun memberikan dapatannya tentang punca dan sebab kematian arwah Adib.

“Memandangkan keputusan tersebut tidak pernah dicabar oleh mana-mana pihak melalui proses rayuan atau semakan yang sah, maka ia adalah kewajipan pihak polis untuk menjuruskan siasatan bagi mencari siapakah dia “dua atau lebih orang” yang menyebabkan kematian arwah Adib, dan bukannya mempersoalkan semula punca kematiannya lagi sama ada dibunuh atau tidak, sebab hal tersebut telah pun selesai diputuskan mahkamah.

“Justeru itu, kami dengan tegas menolak sebarang keperluan untuk siasatan semula punca kematian kononnya melalui satu “pasukan kajian semula’,” kata keluarga Adib dalam satu kenyataan melalui peguam mereka hari ini.

Abdul Hamid sebelum ini mencadangkan penubuhan pasukan petugas untuk menyiasat semula semua aspek kematian Adib dan mengatakan bahawa pasukan petugas itu akan memusatkan perhatian kepada para saksi.

Abdul Hamid berkata polis akan mencadangkan untuk membentuk pasukan petugas ini kepada Kementerian Dalam Negeri kerana terdapat pendapat yang bertentangan dari dua ahli patologi yang telah melakukan bedah siasat ke atas Adib.

Polis juga telah memanggil 31 saksi dari inkues dan sebanyak 52 saksi baru telah memberikan keterangan mereka, kata Hamid.

Ketua polis negara itu berkata setakat ini, tidak ada seorang pun saksi yang dapat memberitahu polis bahawa mereka melihat Adib dipukul semasa rusuhan itu.