Konon Nak Buang ‘Hantu’ Dekat Barang Kemas, Kes Bunuh Pensyarah Ini Pernah Gemparkan Negara

Masihkah anda ingat pembunuhan kejam ini? Zara Eleena dan ayahnya Omar Peter pernah dibunuh dengan kejam di kediaman mereka bertempat di Taman Kinrara 1, Puchong. Kejadian yang berlaku pada 12 Mac 2012 itu dipercayai dilakukan oleh pelajarnya sendiri. Barang kemas bernilai lebih RM100,000 bersama sebuah kereta jenis Kenari milik mangsa dan dua buah telefon bimbit juga lesap dibawa lari.

kronologi pembunuhan tidak berhati perut

Zara Eleena merupakan seorang pensyarah Bahasa Inggeris di Kolej Cybernetics, Cheras. Dia juga seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mengajar disitu. Mayat Zara Eleena dan ayahnya, Omar Peter ditemui oleh ibunya sendiri iaitu Normaliah Mahmud yang baru sahaja tiba dari Segamat, Johor. Kedua-dua mangsa dipercayai mati empat hari sebelum Normaliah tiba di rumah anaknya.

Menurut siasatan polis, kedua-dua buah telefon bimbit milik mangsa hilang. Manakala, kereta jenis Kenari milik Zara juga tiada. Cuma yang ada hanya kereta Toyota Camry milik Omar Peter yang diparkir depan rumah.

Dipercayai dua bulan sebelum kes ini berlaku, Zara memaklumkan kepada ibunya tentang kehilangan wang sejumlah RM6,000 di dalam akaun bank miliknya.

Bagaimanapun ia tidak dilaporkan kepada pihak polis atas sebab-sebab tertentu.  Malah, rakan sekerja juga berasa aneh kerana mangsa sudah lama tidak masuk bekerja. Pihak institusi juga gagal menghubunginya ketika itu.

Selepas beberapa hari siasatan kes dijalankan, pihak polis mengesan seorang suspek lelaki yang dikatakan kekasih mangsa iaitu Zul Shahril. Susulan daripada penangkapan tersebut, polis merungkai penemuan baru. Dimana barang kemas milik mangsa bernilai cecah RM100,000, sebuah kereta Kenari dan telefon bimbit mangsa. Jumlah suspek yang ditahan dalam kes ini pada awalnya adalah 6 orang.

Kesemua suspek adalah pelajar di kolej berkenaan dan usia mereka lingkungan 19 hingga 23 tahun. Tetapi hanya 4 suspek sahaja yang didakwa iaitu Zul Shahril, Mohamad Sharafe, Azizi Aizat Ibrahim dan Muhamad Safwan.

Suspek pertama iaitu Zul Shahril yang juga merupakan kekasih mangsa diperintahkan melakukan pemeriksaan mental oleh Mahkamah Majistret di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak. Ini diminta oleh peguam suspek sendiri untuk memastikan kesihatan mental anak guamnya ketika malam kejadian.

Perbicaraan di mahkamah

Dalam perbicaraan di mahkamah, seorang saksi pendakwaan iaitu Fadhil Rushdan mengaku yang dia mengikat kaki Omar Peter seperti yang diarahkan oleh Muhamad Sharafe. Azizi Aizat pula bertindak dengan mengikat tangan Omar Peter. Mangsa meninggal dunia kerana sesak nafas akibat mulut dan hidung ditekup.

Sebelum kejadian, Fadhil mengatakan mereka dijemput oleh Zara ke rumah pensyarah mereka itu. Mereka memasuki rumah itu dan terlihat Omar Peter sedang menonton televisyen. Kemudian, Zara dan Zul Shahril keluar untuk mengambil Muhamad Safwan dan ustaz di lapangan terbang.

Fadhil Rushdan memberitahu semasa ketiadaan Zara Eleena, mereka bertiga ke dapur selepas bapa pensyarah itu menyuruh mengambil air minuman di dapur. Selepas keluar dari dapur, Fadhil Rushdan terlihat, Azizi Aizat ke tandas dan keluar dengan memakai sarung tangan serta menekup mulut Omar Peter sebelum lelaki itu ditarik ke dalam bilik hadapan.

Dia melihat Sharafe mengacukan sebilah pisau dan menekup mulut dan hidung Omar Peter menggunakan kemeja yang berada di dalam bilik berkenaan. Dia dan Azizi Aizat diarahkan mengikat kaki serta tangan menggunakan tali.

Azizi Aizat memasuki bilik itu selepas Zul Shahril meminta tolong untuk menutup muka Zara yang terbaring menggunakan bantal sebaik sahaja mangsa pulang dari lapangan terbang.

Datang mengubati penyakit mistik

Ibu mangsa, Normaliah Mahmud sewaktu perbicaraan, dia sangat menyesal kerana percaya pada suspek iaitu Zul Shahril. Zul Shahril diperkenalkan oleh Zara Eleena sendiri kepada ibunya. Dikatakan Zul Shahril merupakan seorang Ustaz yang berkebolehan menghalau hantu. Tujuan ibunya datang adalah untuk mengubati penyakit mistik yang dialaminya.

Pada 16 Februari 2012, ibu mangsa datang menginap di rumah anaknya. Sebelum pulang, Zul Shahril menyelongkar rumah itu untuk mencari ‘hantu’ dan menjumpai ‘hantu’ di dalam kotak barangan kemasnya. Omar Peter mengangkat barang kemas milik isterinya itu yang disimpan di dalam kerusi kotak dan kelihatan Zul Shahril mengasingkan barang kemas yang ada ‘hantu’ di atas lantai bilik.

Pada jam 1.00 pagi, Zul Shahril dan rakannya pulang. Normaliah memberitahu dia dan Omar Peter tertidur sekitar jam 3.00 pagi sehingga jam 2.00 petang keesokan hari. Rupanya, Zara Eleena telah meletakkan ubat tidur buat diminum ibunya atas arahan Zul Shahril.

Pembunuhan penuh motif

Hakim Abdul Halim mendapati pembunuhan itu penuh dengan motif di mana tertuduh pertama, Zul Shahril adalah perancang utama kejadian itu yang berpunca daripada kehilangan barang kemas.

Berdasarkan keterangan ibu mangsa jelas bahawa barang kemas yang telah diambil oleh tertuduh pertama. Motif utama tertuduh pertama mengajak tertuduh lain untuk membunuh (kedua-dua mangsa) yang turut membawa kepada perancangan membunuh.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sumber: Warga PrihatinBH OnlineIluminasi, Sinar Harian