Netflix tarik balik tayangan 365 Days – Duffy

PENYANYI Duffy menyeru platform penstriman Netflix supaya menarik balik tayangan filem 365 Days yang menjadi bualan hangat ketika ini kerana mempromosikan elemen seksual melampau termasuk rogol. Duffy, 36, berkata, dia kecewa dengan Netflix apabila tidak sensitif dan terlepas pandang terhadap jalan cerita filem itu yang turut mempamerkan isu penculikan selain eksploitasi seks.

“Ia sangat menyedihkan saya apabila Netflix menyajikan wayang yang menukar penculikan kepada erotik, keganasan dan pemerdagangan seks sebagai filem yang seksi. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana mereka boleh terlepas pandang, tidak sensitif, dan tidak sedar bahayanya. 365 Days mempopularkan realiti keganasan pemerdagangan seks, penculikan dan rogol. Idea ini tidak sepatutnya digunakan langsung sebagai idea hiburan atau tujuan komersial,” katanya.

365 Poster on Netflix

Penyanyi lagu Mercy itu yang pernah mengalami detik hitam dalam hidupnya menjadi mangsa dadah dan rogol menyelar tujuan filem itu ditayangkan. Baginya, dia perlu tampil bersuara mengenai hal itu.

“Saya berusaha tenangkan diri untuk jelaskan di sini, sewaktu saya diperdagangkan dan dirogol, saya bernasib baik berjaya terselamat. Bagaimanapun, ramai mangsa lain tidak cukup bertuah. Dan sekarang saya kena tonton tragedi ini yang pernah saya lalu, dierotikkan dan diperlekeh. Bagaimana saya tidak marah? Saya terpaksa bersuara mengenai isu ini,” katanya.

Dalam filem berkenaan, watak Massimo lakonan Michele Morrone menculik Laura (Anna-Maria Sieklucka) dan menyuruh untuk jatuh cinta kepadanya dalam tempoh 365 hari. Sepanjang tempoh itu, banyak babak hubungan intim dipertontonkan.