(Sadis) Wanita Sarat Mengandung Maut Di Gilis

Editor: AlFatihah

Seorang wanita yang sarat mengandung tujuh bulan maut digilis sebuah treler dalam kemalangan tiga kenderaan di persimpangan Jalan Permatang Buloh, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata mangsa dikenal pasti sebagai Nur Amirah Izzati Rohaizat, 19, meninggal dunia di tempat kejadian ekoran kecederaan parah di kepala.

“Dalam kejadian 10.45 malam ketika hujan lebat itu, mangsa yang menunggang motosikal dari arah pekan Darat dipercayai telah melanggar lampu isyarat sebelum merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Mangsa yang terjatuh kemudian digilis oleh treler dari arah Kepala Batas menghala Permatang Buloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat sementara kes disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA